PENGERTIAN ‘AQIQAH
‘Aqiqah ialah sembelihan binatang an‘am yang dilakukan kerana menyambut kanak-kanak yang baru dilahirkan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah subhanahu wata‘ala. HUKUM MELAKUKAN ‘AQIQAH Hukum melakukan ‘aqiqah ialah sunnah mu’akkadah bagi orang yang menanggung sara hidup kanak-kanak tersebut. Jika anak itu lelaki disunatkan menyembelih dua ekor kambing, manakala jika anak itu perempuan disunatkan menyembelih seekor kambing. Binatang seperti lembu, kerbau atau unta boleh dibahagikan kepada tujuh bahagian. WAKTU PELAKSANAAN ‘AQIQAH Waktu melakukan ‘aqiqah adalah dari hari kelahiran kanak-kanak itu sehinggalah ia baligh. Masa yang paling afdhal untuk melakukan ‘aqiqah adalah pada hari ketujuh kelahiran kanak-kanak tersebut. Sabda Rasullullah sallallahu ‘alayhi wasallam: كُلُّ غُلاَمٍ رَهِيْنَةٌ بِعَقِيْقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ , وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى . Maksudnya: "Setiap bayi itu tergadai dengan ‘aqiqahnya. Disembelih untuknya pada hari ketujuh dan dicukur kepalanya dan diberi nama." (Riwayat Abu Daud) SYARAT SAH ‘AQIQAH (a) Berniat aqiqah ketika menyembelih. (b) Binatang ternakan berkaki empat iaitu kambing, bebiri, kibas, lembu, kerbau dan unta. (c) Memenuhi syarat-syarat sembelihan. (d) Tidak terdapat kecacatan pada binatang tersebut (e) Disembelih pada waktunya iaitu hari ketujuh selepas kelahiran @ bila-bila masa sebelum umur baligh (f) Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur. Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan Qurban / Akikah adalah seperti berikut: SUNAT SEMASA ‘AQIQAH Berdoa semasa hendak menyembelih: بِسْمِ اللهِ ، اَللهُ أَكْبَرُ ، اَللَّهُمَّ هَذَا مِنْكَ وَإِلَيْكَ عَقِيْقَةٌ ... (sebut nama anak) Maksudnya: "Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ya Allah, binatang ini daripada-Mu dan kembali kepada-Mu, ini ‘aqiqah…". (a) Dilakukan pada hari ke tujuh kelahiran. (b) Menyembelih ketika matahani sedang naik (pagi). (c) Mencukur rambut bayi selepas penyembelihan. (d) Memberi nama yang baik kepada bayi (e) Berdoa ketika hendak menyembelih. (f) Daging dimasak manis. (g) Tidak mematahkan sendi tulang binatang tersebut ketika dimasak. (h) Daging aqiqah disunatkan buat jamuan atau kenduri |
PERKARA YANG PERLU DILAKUKAN KETIKA MENYAMBUT KELAHIRAN ANAK
Mengazankan di telinga sebelah kanan anak yang baru lahir. Membaca iqamah di telinga sebelah kirinya. Membaca doa di kedua-dua belah telinganya, contohnya membaca surah Al-Ikhlas. Menyapu lelangit kanak-kanak tersebut dengan benda-benda yang manis seperti buah tamar atau pisang. Menamakan kanak-kanak tersebut dengan nama-nama yang baik pada hari ketujuh kelahirannya. Mengadakan jamuan dan doa kesyukuran sempena kelahirannya. Mencukur rambut kanak-kanak tersebut selepas menyembelih ‘aqiqah untuknya. Memberi sedekah emas atau perak seberat rambut kanak-kanak yang dicukur itu atau wang yang sama nilai dengan emas atau perak tersebut. Menyedekahkan daging ‘aqiqah kepada fakir miskin. HIKMAH ‘AQIQAH ‘Tanda kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan zuriat. 1. Menggalakkan amalan sedekah. 2. Sebagai mengikuti sunnah Rasulullah. 3. Mengukuhkan semangat persaudaraan dalam masyarakat. 4. Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak dalam diri. 5. Memulakan kehidupan seorang bayi dengan amalan kebaiakan. © Source Jabatan Mufti Negeri Melaka |